KUALA LUMPUR: Polis mengesan seramai 20 penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian menyerang sebuah kereta, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 4 pagi berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong, melibatkan seorang lelaki berusia 52 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan dimulakan selepas mangsa tampil membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
“Polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, polis menganggarkan sekitar 20 penunggang motosikal terlibat dalam insiden itu dan usaha mengesan serta menahan mereka giat dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, dan Seksyen 279 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Dalam rakaman video yang tular, kumpulan penunggang motosikal berkenaan mengekori rapat sebelum mengepung sebuah kereta di lebuh raya.
Seorang daripada mereka menumbuk tingkap dan menendang cermin sisi kereta sehingga patah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
