
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.87 di peringkat Asasi terpaksa meninggalkan pengajian dan bekerja di kilang demi menyara keluarga.
Perkara itu dikongsi oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di Facebook, sambil memaklumkan MARA akan membantu pelajar berkenaan untuk meneruskan pengajiannya.
“Pagi ini saya menerima mesej mengenai seorang pelajar cemerlang SPM 9A dan Asasi 3.87 yang terpaksa berhenti belajar dan bekerja di kilang kerana masalah kewangan.
“MARA akan menawarkan pembiayaan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik serta peluang kerjaya di British Malaysian Institute (BMI) di bawah UniKL,” katanya.
Katanya, kisah pelajar itu lebih menyentuh hati apabila dimaklumkan dia merupakan bekas pelajar MRSM.
Keputusan untuk tidak meneruskan pengajian dibuat selepas menerima makluman tiada bantuan kewangan ditawarkan oleh pihak universiti.
“Ayah pelajar ini sakit manakala ibunya hanya membantu menjual nasi lemak bagi menampung kehidupan.
“Apabila menerima emel daripada universiti yang menyatakan tiada bantuan kewangan disediakan, pelajar ini membuat keputusan tidak menyambung pengajian ke kampus induk,” ujarnya.
Dr Asyraf turut memaklumkan beliau sudah menghubungi UMNO Bahagian untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga pelajar terbabit dan berhasrat bertemu sendiri dengan pelajar itu bagi memujuknya menyambung pelajaran.
“Saya telah berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA seawal Subuh tadi dan kami bersetuju untuk menawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di BMI UniKL, selaras dengan pencapaian akademiknya.
“Sesungguhnya, hanya dengan ilmu dapat mengubah masa depan,” katanya.





