
KUALA LUMPUR: Seramai 1,336 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, meningkat 70 orang berbanding 1,266 calon pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan prestasi akademik keseluruhan calon STPM tahun ini.
Menurutnya, sebanyak 3.50 peratus daripada keseluruhan calon STPM 2025 memperoleh PNGK sempurna, seiring dengan peningkatan PNGK Nasional kepada 2.88, iaitu pencapaian terbaik sejak sistem peperiksaan baharu STPM diperkenalkan pada 2013.
“Peningkatan bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.00 menunjukkan semakin ramai pelajar berjaya mencapai tahap kecemerlangan akademik tertinggi dalam peperiksaan STPM.
“Trend ini turut disokong oleh peningkatan PNGK Nasional serta pertambahan bilangan calon yang memperoleh keputusan 5A dan 4A berbanding tahun lalu,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata, hampir keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan tersebut layak menerima Sijil STPM.
Daripada 38,144 calon yang hadir menduduki peperiksaan, seramai 38,128 calon atau 99.96 peratus layak dianugerahkan sijil berkenaan.
Menurutnya, seseorang calon layak memperoleh Sijil STPM sekiranya mendapat sekurang-kurangnya lulus sebahagian dalam satu mata pelajaran.
Bagi peperiksaan STPM 2025, seramai 40,199 calon mendaftar, namun hanya 38,144 calon atau 94.89 peratus hadir menduduki peperiksaan.
Daripada jumlah itu, 35,774 calon atau 93.79 peratus merupakan calon aliran Sains Sosial manakala 2,370 calon atau 6.21 peratus daripada aliran Sains.
Kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2025 merekodkan kadar lulus penuh melebihi 70 peratus.
Dua mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus berbanding tahun lalu iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Tamil.
Bagaimanapun, mata pelajaran Literature in English dan Bahasa Cina menunjukkan penurunan prestasi melebihi tiga peratus berbanding pencapaian tahun sebelumnya.






