
SEPANG: AirAsia mengingatkan orang ramai khususnya pencari kerja supaya berwaspada terhadap kewujudan laman sesawang palsu yang menyamar sebagai portal kerjaya rasmi syarikat penerbangan itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan memaklumkan pihaknya mengesan sebuah laman sesawang pengambilan pekerja palsu yang sedang tular dan dipercayai menyasarkan individu yang mencari peluang pekerjaan.
Menurut AirAsia, taktik penipuan itu dilakukan dengan meniru paparan serta kandungan portal kerjaya rasmi syarikat bagi memperdaya mangsa supaya menyerahkan maklumat peribadi selain membuat pembayaran kononnya sebagai yuran pemprosesan permohonan kerja.
“Penipuan tersebut menggunakan laman kerjaya palsu yang menyerupai portal rasmi AirAsia untuk mengumpulkan data peribadi dan meminta bayaran bagi meneruskan proses pengambilan pekerja yang tidak wujud,” katanya.
Sehubungan itu, AirAsia menegaskan satu-satunya portal kerjaya rasmi syarikat adalah AirAsia Careers dan pihaknya tidak pernah mengenakan sebarang bayaran atau yuran pemprosesan kepada pemohon pekerjaan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat peribadi, butiran perbankan atau maklumat pembayaran dengan mana-mana laman sesawang yang meragukan atau tidak disahkan.
Menurut syarikat itu, semua urusan pengambilan pekerja hendaklah disemak dan disahkan melalui saluran rasmi bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan.
AirAsia turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau sebarang aktiviti penipuan yang menggunakan nama dan identiti syarikat itu, selain menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pekerjaan yang mencurigakan.







