
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend ditamatkan melalui persetujuan antara beliau dan badan induk itu berkuat kuasa 1 Jun.
FAM memaklumkan, kontrak ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith dan Seiya Imazaki juga ditamatkan atas persetujuan bersama-sama berkuat kuasa 16 Jun.
“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama-sama pasukan kebangsaan.
“Bagi memastikan kelancaran hala tuju dan kesinambungan program pasukan kebangsaan, FAM sedang mengambil langkah sewajarnya berhubung pengisian jawatan berkenaan. Sebarang perkembangan lanjut mengenai pasukan kebangsaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut ditamatkan kontrak ketua jurulatih pasukan Bawah-23 negara, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin berkuat kuasa 15 Jun atas alasan sama.







