
SHAH ALAM: Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penunggang motosikal dengan menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan minggu lalu.
Tertuduh, Azmi Jantan, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.
Berdasarkan pertuduhan, Azmi didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun dengan menetak mangsa menggunakan pisau pemotong daging yang boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 14.6, laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13 di sini pada pukul 8.19 pagi, 11 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Bagaimanapun, Azmi yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta mengarahkan beliau melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan fakta kes dan jatuh hukum.
Sebelum ini, media melaporkan seorang penunggang motosikal cedera selepas ditetak oleh penunggang lain dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Sarudin Samah berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa membunyikan hon terhadap seorang penunggang motosikal lain yang didakwa menghalang laluannya.
Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan suspek berang sebelum berhenti di tepi jalan dan bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging.
“Suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa membunyikan hon sebelum bertindak menyerang mangsa dengan senjata berkenaan,” katanya.






