
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan 1,638 syarikat disyaki mengemukakan tuntutan palsu Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), membabitkan kerugian dianggarkan RM45 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan kini tertumpu kepada 143 syarikat dengan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM9 juta.
“Kita (SPRM) nak lengkapkan siasatan berdasarkan kepada kerjasama yang kita peroleh daripada PERKESO bukan saja ibu pejabat tetapi di negeri-negeri.
“Apabila kita dapat kerjasama yang baik dan apabila telah dilengkapkan penyiasatan tersebut, kita akan mulakan pendakwaan,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata, Ops Daya yang dilancarkan pada 9 Jun lepas merupakan operasi bersepadu antara SPRM dan PERKESO bagi menyiasat penyelewengan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0.
Abdul Halim berkata, sebanyak 63 kertas siasatan dibuka dengan 97 individu terdiri daripada 86 pemilik syarikat dan 11 ejen ditahan setakat Selasa lepas bagi membantu siasatan.
Daripada jumlah tersebut, 77 individu telah direman dan pihaknya merakam keterangan daripada 577 individu.
“Sebanyak 36 akaun bank syarikat bernilai RM463,076 dibeku dan harta alih seperti emas, wang tunai dan pelbagai barang berharga dianggarkan RM74,198 disita dalam operasi tersebut,” katanya.
Katanya, modus operandi yang dikenal pasti adalah data individu disalah guna untuk tuntutan insentif, saguhati sekali beri diberikan kepada pekerja walaupun tuntutan penuh sudah dibuat serta maklumat orang kurang upaya (OKU) digunakan untuk bayaran kepada pihak lain.
Siasatan mendapati penyelewengan terbabit berlaku dalam tempoh 2024 hingga 2025 apabila beberapa syarikat dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dengan mengisytiharkan pekerja yang tidak bekerja di syarikat mereka bagi tujuan mendapatkan insentif penggajian kerajaan.





