
SUBANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang meneliti keperluan untuk menggantikan pesawat pengangkut C-130 Hercules yang digunakan ketika ini bagi memastikan keupayaan operasi terus berada pada tahap optimum.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, langkah tersebut perlu dirancang lebih awal memandangkan sebahagian pesawat C-130 Hercules dalam inventori TUDM telah berkhidmat dalam tempoh yang sangat lama. Pesawat terawal yang diterima kini berusia sekitar 50 tahun, manakala yang paling baharu telah digunakan selama lebih tiga dekad.
Menurut beliau, walaupun pesawat C-130 Hercules terbukti sebagai aset yang berkeupayaan tinggi dan masih relevan dalam pelbagai misi, faktor usia serta peningkatan kos penyelenggaraan menjadikan proses penggantian suatu keperluan yang perlu dipertimbangkan.
Katanya, generasi pesawat pengangkut masa hadapan menawarkan pelbagai kelebihan dari segi teknologi, prestasi dan kecekapan operasi. Selain memiliki sistem yang lebih moden, pesawat baharu juga berupaya meningkatkan kapasiti angkut, daya kuasa serta kemampuan melaksanakan pelbagai tugasan dengan lebih berkesan.
“Ini adalah perkara yang perlu kita lihat selari dengan penugasan TUDM pada masa akan datang.
“Tugas TUDM akan menjadi lebih besar dan lebih mencabar, justeru kita memerlukan aset-aset yang berupaya melaksanakan tugas-tugas itu,” katanya kepada pemberita pada majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68, di sini, hari ini.
Ketika ini, TUDM memiliki 10 pesawat C-130 Hercules yang terdiri daripada beberapa varian.
Muhamad Norazlan turut memaklumkan TUDM sedang melaksanakan kajian berkaitan penggantian pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) serta penambahan aset pesawat tempur ringan menjelang tahun 2035. Langkah itu diambil sebagai persediaan menghadapi cabaran keusangan aset sedia ada dan bagi memastikan sokongan penyelenggaraan dapat diteruskan secara berkesan pada masa hadapan.
“TUDM masih belum membuat ketetapan sama ada pesawat generasi 4.5, generasi kelima atau generasi keenam akan dipilih bagi menggantikan aset sedia ada.
“Sebarang keputusan mengenai perolehan pesawat tempur baharu perlu mengambil kira dasar pertahanan negara yang berteraskan pertahanan dan bukannya bersifat menyerang,” katanya.
Katanya, TUDM kini mencapai tahap kesiapsiagaan kira-kira 90 peratus untuk menerima pesawat tempur ringan FA-50 yang bakal ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan selain kerja-kerja penyediaan kemudahan dan infrastruktur sokongan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini.
Menurutnya, persiapan sumber manusia turut berjalan lancar apabila enam juruterbang TUDM kini mengikuti latihan di Korea Selatan, selain jurutera dan juruteknik yang sedang menjalani latihan khusus bagi memastikan pengoperasian serta penyelenggaraan pesawat berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan sebaik sahaja ia diterima kelak.
“Semua latihan akan diselesaikan sebelum mereka pulang ke tanah air, sekali gus membolehkan operasi penerbangan dimulakan tanpa perlu menjalani latihan tambahan.
“Enam juruterbang telah menjalani latihan kajian bawah serta simulator dan sedang menjalani latihan penerbangan dengan pesawat FA-50 di Gwangju Airbase, Korea Selatan.
“Dijangkakan dua juruterbang pertama akan tamat latihan pada Oktober depan, manakala empat lagi juruterbang dijangka tamat latihan pada Disember,” katanya.






