
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Selayang Baru dan Pasar Harian Selayang, semalam.
Dalam operasi tersebut, DBKL melaksanakan 13 sitaan serta pemindahan barangan ke atas peniaga warga asing termasuk individu yang menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai dokumen pengenalan diri.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, DBKL memaklumkan pemeriksaan tertumpu kepada pelbagai jenis perniagaan termasuk penjualan barangan runcit, keperluan harian, barangan basah, buah-buahan, sayur-sayuran dan lain-lain.
“Sebanyak empat notis kompaun dikeluarkan pada operasi berkenaan manakala 13 tindakan sita dan pemindahan barangan dikenakan terhadap premis perniagaan yang dikendalikan oleh bukan warganegara tanpa lesen yang sah.
“Ini termasuk yang menggunakan kad pelarian dari UNCHR sebagai dokumen pengenalan,” katanya.
DBKL berkata tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016.
“Semua barangan dan peralatan perniagaan yang disita dalam operasi itu dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL untuk tindakan dan dokumentasi lanjut.
“Kami akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti,” katanya.
DBKL turut meminta orang ramai berhubung atau menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aduan berkaitan perniagaan tanpa lesen ini.




