
TEHERAN: Trafik perkapalan di Selat Hormuz kembali beroperasi seperti biasa selepas perjanjian sementara antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berkuat kuasa semalam.
Bagaimanapun, beberapa isu utama termasuk program nuklear Tehran serta konflik berterusan di Lubnan masih menimbulkan persoalan terhadap kestabilan jangka panjang rantau Asia Barat.
Perjanjian yang mula berkuat kuasa pada Khamis itu menyaksikan kapal-kapal tangki minyak kembali menggunakan laluan strategik berkenaan, manakala Washington mengumumkan penarikan balik sekatan terhadap Iran sebagai sebahagian daripada langkah meredakan konflik.
Perkembangan tersebut turut memberi kesan kepada pasaran tenaga global apabila harga minyak jatuh ke paras terendah sejak perang tercetus pada 28 Februari lalu.
Penganalisis menjangkakan eksport minyak melalui Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia akan kembali normal dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun, situasi keselamatan serantau masih belum stabil apabila Israel meneruskan operasi ketenteraan terhadap Hizbullah di Lubnan meskipun perjanjian damai antara Washington dan Tehran telah dimeterai.
Di AS, beberapa sekutu Parti Republikan turut mempersoalkan pendekatan Presiden Donald Trump yang dilihat membuat terlalu banyak kompromi bagi menamatkan konflik yang semakin tidak popular dalam kalangan rakyat negara itu.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, pula mendakwa Trump bersetuju menandatangani perjanjian tersebut kerana berada dalam keadaan terdesak.
Beliau turut memberi bayangan rundingan lanjut mengenai program nuklear Iran dijangka berdepan cabaran besar.
Perjanjian berkenaan memberikan tempoh 60 hari kepada kedua-dua pihak untuk mencapai persetujuan mengenai status program nuklear Iran.
Selain itu, ia turut merangkumi penubuhan dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion bagi membantu pemulihan Iran serta beberapa insentif kewangan lain.
Naib Presiden AS, JD Vance yang akan mengetuai delegasi negara itu dalam rundingan seterusnya berkata, Washington juga mahu mengehadkan keupayaan peluru berpandu jarak jauh Iran.
Ketika melancarkan perang hampir empat bulan lalu, Trump menyatakan matlamatnya adalah untuk memusnahkan program senjata nuklear Iran, mengekang pengaruh ketenteraannya di rantau itu serta menghentikan sokongannya kepada kumpulan bersenjata sekutu.
Namun, beliau akhirnya bersetuju dengan perjanjian tersebut tanpa sebahagian besar objektif asal berjaya dicapai.
Pegawai AS bagaimanapun yakin rundingan yang akan berlangsung masih mampu menghasilkan persetujuan yang lebih menyeluruh berkaitan program nuklear Tehran.
Dalam masa sama, pengkritik berpendapat Iran kini berada dalam kedudukan lebih kukuh selepas berjaya bertahan daripada tekanan ketenteraan dan memperoleh pelonggaran sekatan ekonomi.
Teheran juga memberi bayangan akan terus mengawal pergerakan kapal di Selat Hormuz sepanjang tempoh rundingan berlangsung walaupun tidak mengenakan sebarang bayaran kepada kapal yang melaluinya.
Di Lubnan, konflik masih berterusan apabila tentera Israel melancarkan serangan udara baharu pada awal pagi Khamis.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kesediaan Washington untuk menekan sekutunya supaya menghentikan operasi ketenteraan yang boleh menjejaskan proses damai.
Namun, Israel yang tidak terlibat dalam rundingan berkenaan menegaskan tidak bercadang menarik keluar tenteranya dari Lubnan malah dilaporkan memperluaskan kawasan yang dikuasainya.
Hubungan antara Washington dan Tel Aviv pula semakin tegang apabila Trump secara terbuka mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Lubnan. – REUTERS







