
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan sebanyak 640 slot Penajaan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2026 bagi melahirkan lebih ramai modal insan berprestasi tinggi dalam bidang strategik dan kritikal negara.
JPA dalam kenyataan memaklumkan, penawaran itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh pembangunan bakat negara serta meningkatkan daya saing Malaysia pada masa hadapan.
Menurut kenyataan tersebut, penajaan yang ditawarkan merangkumi Program Penajaan Nasional sebanyak 30 slot, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (140 slot), Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (200 slot) serta Program Khas JPA-MARA (PKJM) yang menyediakan 270 slot.
Katanya, penajaan berkenaan meliputi pelbagai bidang strategik termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial yang menjadi keutamaan dalam pembangunan negara.
“Melalui program ini, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan terkemuka dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, United Kingdom dan New Zealand selain institusi pengajian tinggi tempatan,” katanya.
JPA turut memaklumkan calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan keputusan penajaan secara dalam talian bermula pukul 10 pagi hari ini sehingga pukul 5 petang pada 22 Jun ini melalui sistem yang disediakan jabatan itu.
Menurut JPA, semua pelajar yang berjaya menerima tawaran Penajaan Lepasan SPM Tahun 2026 akan ditawarkan penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA) yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu.
Katanya, pelaksanaan PBUA mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik serta menggalakkan penerima penajaan untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh pengajian.
“JPA komited memastikan pelajar cemerlang negara terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi terbaik dalam dan luar negara,” katanya.
Dalam masa sama, JPA mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menerima tawaran penajaan tersebut.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam membangunkan bakat negara bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam pelbagai sektor strategik serta menyokong agenda pembangunan nasional.







