
MUAR: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 33 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi lima pertuduhan membabitkan kesalahan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua cucu perempuannya yang masih kanak-kanak.
Tertuduh berusia 67 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan selepas Hakim Mohd Khairi Haron menerima pengakuan bersalah yang dibuat terhadap semua pertuduhan yang dihadapinya.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan keempat, lelaki tersebut didakwa melakukan amang seksual terhadap cucunya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama di lokasi berkenaan antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya yang berusia sembilan tahun di rumah yang sama dalam tempoh tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Perintah tambahan itu dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.





