
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menawarkan pengurangan kadar sewa sebanyak 30 peratus kepada penjaja atau peniaga yang menyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) selama enam bulan bermula Julai ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa dua itu bertujuan menggalakkan usahawan terus menjalankan perniagaan tanpa meningkatkan harga makanan kepada rakyat.
“Bantuan ini akan memanfaatkan seramai 21,234 peniaga dengan peruntukan RM4.5 juta daripada kerajaan negeri. Pengurangan ini akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan permohonan daripada peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk menawarkan moratorium kepada 1,012 penyewa di bawah skim Smart Sewa Selangor untuk tiga bulan bermula Oktober.
Beliau berkata, moratorium berkenaan akan diselaraskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengikut permohonan daripada penyewa bagi memastikan mereka yang terlibat dapat menikmati kadar sewa konsisten pada kadar RM450 hingga RM1,300 sebulan.
“Bagi membantu penjawat awam yang sedang menjelaskan bayaran hutang pinjaman rumah di bawah Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri, pentadbiran ini turut akan menawarkan peluang moratorium bayaran semula pinjaman rumah untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober 2026 hingga Disember 2026.
“Bantuan ini bakal memanfaatkan 2,333 penjawat awam di Selangor mengikut permohonan,” katanya.





