
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dipinda bagi memperluaskan bidang kuasa siasatan Pesuruhjaya Bangunan (COB), khususnya dalam menangani isu konflik kepentingan serta penyalahgunaan dana pengurusan di kawasan berstrata.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SPRM memaklumkan cadangan itu merupakan sebahagian daripada enam syor penambahbaikan yang dikemukakan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut SPRM, syor tersebut bertujuan memperkukuh tadbir urus kewangan dan proses perolehan di kawasan berstrata agar lebih telus, berintegriti dan berkesan.
“Antara cadangan penambahbaikan utama yang disyorkan adalah pindaan Akta 757 bagi memperluas kuasa siasatan COB terhadap konflik kepentingan dan penyalahgunaan dana, penguatkuasaan melalui pengkompaunan kesalahan untuk mempercepat tindakan dan meningkatkan pematuhan, mewartakan garis panduan kewangan serta perolehan sebagai kewajipan undang-undang dan prosedur yang jelas,” menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan cadangan itu disampaikan Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohd Taib, kepada JPN pada 16 Jun lalu menerusi kajian berkaitan cabaran yang dihadapi COB dalam mengawal selia pengurusan kewangan dan perolehan di kawasan berstrata.
Bagi meningkatkan tahap ketelusan dalam pengurusan kawasan berstrata, SPRM turut mencadangkan pembangunan sistem e-Pelaporan yang mengambil inspirasi daripada model Building Maintenance and Strata Management Act (BMSMA) 2004 di Singapura. Sistem itu dilihat mampu memastikan laporan berkala dikemukakan secara lebih sistematik dan telus, sekali gus mengurangkan risiko penyelewengan atau manipulasi dokumen.
Menurut SPRM, cadangan lain yang dikemukakan termasuk penstrukturan semula perjawatan melalui penambahan jumlah pegawai serta penetapan nisbah tenaga kerja yang lebih sesuai bagi mempertingkat keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan.
Selain itu, aspek pembangunan kapasiti pegawai turut diberi perhatian menerusi cadangan latihan berterusan dalam bidang kewangan, audit, perolehan dan penguatkuasaan bagi memastikan mereka memiliki kemahiran serta pengetahuan yang relevan dengan cabaran semasa.
Dalam pada itu, JPN menyatakan sokongan terhadap semua syor yang dikemukakan oleh SPRM dan berpandangan bahawa pelaksanaannya berupaya memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti, di samping memantapkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berintegriti, cekap dan berkesan.





