
KUALA LUMPUR: Sorakan puluhan ribu penyokong, status tuan rumah dan sejarah panjang di pentas bola sepak dunia menjadikan Mexico antara pasukan paling menarik untuk diperhatikan pada Piala Dunia 2026.
El Tri bukan sahaja mencipta sejarah sebagai negara pertama menganjurkan Piala Dunia sebanyak tiga kali malah menjadi pasukan pertama yang mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Korea Selatan 1-0.
Berikut enam fakta menarik mengenai gergasi Gabungan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF).
Stadium Azteca mencipta sejarah dunia
Mexico sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila Estadio Azteca menjadi stadium pertama dalam sejarah yang menjadi venue Piala Dunia bagi tiga edisi berbeza iaitu pada 1970, 1986 dan 2026.
Stadium ikonik tersebut turut menjadi saksi dua legenda bola sepak dunia, Pele dan Diego Maradona, menjulang trofi Piala Dunia.
Mexico pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia terbaik dalam sejarah
Ramai pemerhati bola sepak menganggap edisi 1970 dan 1986 di Mexico sebagai antara Piala Dunia paling ikonik sepanjang zaman.
Edisi 1970 menyaksikan kemunculan pasukan Brazil yang dianggap antara terbaik dalam sejarah, manakala 1986 pula dikenang dengan aksi legenda Diego Maradona menerusi gol Hand of God dan Goal of the Century.
Rekod terbaik Mexico adalah suku akhir
Walaupun sering layak ke Piala Dunia, pencapaian terbaik Mexico masih mara ke suku akhir pada tahun 1970 dan 1986.
Lebih menarik, kedua-dua pencapaian berkenaan dilakukan ketika pasukan Mexico bermain di laman sendiri.
Salah satu pasukan paling konsisten di Piala Dunia
Mexico terkenal sebagai antara pasukan paling konsisten di pentas antarabangsa.
Sebelum edisi 2026, El Tri telah layak ke 17 daripada 18 edisi Piala Dunia sejak 1950, menjadikan pasukan berkenaan antara negara dengan rekod penyertaan terbaik di dunia.
Digelar El Tri
Pasukan kebangsaan Mexico dikenali dengan gelaran El Tri yang merupakan singkatan kepada El Tricolor, merujuk kepada tiga warna utama pada bendera negara Land of the Sun tersebut iaitu hijau, putih dan merah.
Gelaran itu menjadi simbol kebanggaan rakyat Mexico dan sering bergema di stadium setiap kali pasukan mereka beraksi.
Penyokong Mexico antara paling fanatik di dunia
Peminat Mexico terkenal kerana sanggup mengembara ribuan kilometer untuk menyokong pasukan kesayangan mereka.
Pada setiap Piala Dunia, lautan jersi hijau Mexico hampir pasti memenuhi stadium, menjadikan mereka antara kelompok penyokong paling meriah dan lantang di dunia bola sepak.







