
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan itu membabitkan urusan pemindahan gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK), termasuk penelitian terhadap peranan beberapa pihak terlibat.
Antara pihak yang diberi perhatian dalam siasatan ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta ejen yang menguruskan proses pemindahan berkenaan.
Menurut SPRM, tindakan membuka siasatan itu susulan gesaan Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) pada 18 Jun lalu supaya siasatan dijalankan terhadap urusan pemindahan tiga ekor gajah tersebut.
Pertubuhan berkenaan sebelum ini mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan pemindahan yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.
SPRM berkata, pihaknya turut meneliti dakwaan berhubung kemungkinan berlaku ketirisan serta menyiasat sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam urusan berkenaan.
“Siasatan masih di peringkat awal dan dijalankan secara menyeluruh. Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
SPRM menegaskan komitmennya untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti mencukupi untuk tindakan lanjut.
Dara, Amoi dan Kelat dipindahkan dari Malaysia ke Zoo Tennoji pada Mac lalu menerusi perjanjian kerjasama konservasi antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo.
Namun, pemindahan tiga ekor gajah berkenaan mencetuskan perhatian masyarakat apabila timbul persoalan berkaitan kebajikan, habitat serta kesejahteraan haiwan terbabit selepas ditempatkan di Jepun.






