
KUALA LUMPUR: Cadangan penambahan bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah golongan B40 bagi musim haji akan datang diperhalusi sekiranya kos menunaikan ibadah itu terus meningkat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, bagi musim haji tahun ini, Tabung Haji (TH) terus menyediakan bantuan kewangan haji secara bersasar kepada golongan B40 walaupun kos haji meningkat.
Beliau berkata, daripada kos sebenar menunaikan haji berjumlah RM33,300 seorang, jemaah haji dalam kategori B40 hanya perlu membayar RM15,000, manakala baki RM18,300 ditanggung menerusi bantuan kewangan yang disediakan TH.
“Bantuan kewangan haji ini dibiaya daripada keuntungan pelaburan TH yang dijana daripada simpanan pendeposit. Oleh itu, pemberian bantuan kewangan haji perlu dibuat secara bersasar dan berhemah dengan mengambil kira keperluan bakal haji serta kepentingan pendeposit secara keseluruhannya.
“Namun, TH akan memperhalusi cadangan untuk menambah bantuan kewangan untuk bakal jemaah B40 bagi musim haji akan datang,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) berhubung kesediaan kerajaan dan TH untuk menambah bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah daripada kumpulan B40 berikutan trend peningkatan kos ibadah itu.
Dalam pada itu, Marhamah berkata TH juga sedang meneliti penambahbaikan sistem pengurusan giliran haji lebih sistematik dan adil kepada pendeposit yang telah membuat persediaan awal, khususnya mereka yang konsisten menyimpan dan mempunyai simpanan mencukupi.
Katanya, langkah itu dapat mengurangkan keperluan untuk membuat tawaran gantian berulang apabila terdapat bakal haji yang memohon penangguhan atas alasan kewangan.






