
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kembali menjadi Ketua Pembangkang bermula 18 Jun lepas.
Johari berkata, Hamzah adalah Ketua Pembangkang setakat 20 Mei 2026 berdasarkan perkembangan sejak Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat lepas.
Beliau berkata, sebelum Hamzah kembali menjadi Ketua Pembangkang pada 18 Jun lalu, Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar dilantik ke jawatan itu mulai 21 Mei hingga 10 Jun.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada Yang Berhormat Kemaman atas khidmat sebagai Ketua Pembangkang dalam tempoh tersebut dan mengalu-alukan Yang Berhormat Larut untuk kembali berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.
Johari memaklumkan mengenai status Ketua Pembangkang itu di bawah Peraturan Mesyuarat 4A(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam permasyhurannya sebelum sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Johari turut mengesahkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, menghantar surat untuk melepaskan keahlian mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 18 Mei lepas.
Sehubungan itu, Johari berkata beliau memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.






