
KUALA LUMPUR: Kadar kompaun maksimum bagi lebih 700 kesalahan jalan raya dijangka dinaikkan kepada RM500 menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang bakal dibentangkan di Parlimen.
Kementerian Pengangkutan (MoT) dijangka mengemukakan syor kenaikan kadar baharu itu pada bacaan pertama RUU berkenaan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang berlangsung sehingga 16 Julai ini.
Ketika ini, kadar maksimum kompaun bagi beberapa kesalahan serius termasuk memandu secara melulu, memecut, memandu tanpa lesen atau cukai jalan sah serta gagal mematuhi lampu isyarat merah adalah RM300 yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Langkah menaikkan kadar kompaun itu dilihat perlu berikutan masih berlaku kesalahan trafik serius dan berulang yang dianggap remeh oleh sebahagian pengguna jalan raya sehingga menjejaskan aspek keselamatan.
Berita Harian memetik sumber melaporkan, pindaan berkenaan membabitkan beberapa peruntukan termasuk Seksyen 14 berkaitan pelesenan kenderaan motor, Seksyen 15 mengenai kesalahan lesen kenderaan motor, Seksyen 26 iaitu penggunaan kenderaan tanpa lesen memandu sah serta Seksyen 40 berkaitan kewajipan perlindungan insurans pihak ketiga.
Ia turut melibatkan Seksyen 59 berkaitan kuasa pemeriksaan kenderaan, Seksyen 66A mengenai nombor pendaftaran kenderaan, Seksyen 72 membabitkan kesalahan parkir, serta beberapa peruntukan lain berkaitan penguatkuasaan lalu lintas.
Menurut sumber berkenaan, pindaan itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya selain memperkukuh tindakan terhadap kesalahan yang boleh membahayakan nyawa orang awam.
“Pindaan ini tidak bermaksud semua kadar kompaun akan ditetapkan RM500. Sebaliknya, JPJ akan menyusun semula kadar tawaran kompaun bagi lebih 700 jenis kesalahan yang boleh dikompaun,” katanya.
Pindaan Akta 333 turut dijangka memperkenalkan peruntukan baharu bagi menangani kegiatan samseng jalanan dan mat rempit menerusi Seksyen 42A, termasuk tindakan terhadap perlumbaan haram serta aktiviti menguji kelajuan yang mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
Kerajaan turut bercadang memperkasakan tindakan terhadap kegiatan tonto menerusi pindaan Seksyen 110B dengan memperincikan bentuk gangguan seperti berkumpul, menghalang laluan, menonton perlumbaan atau membunyikan hon dan ekzos secara berlebihan.
Sumber berkata, pindaan itu akan memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa untuk mengarahkan kumpulan terbabit bersurai, merampas kenderaan serta mengambil tindakan undang-undang termasuk hukuman lebih berat.
Turut diberi perhatian dalam pindaan berkenaan ialah penggunaan kenderaan mikromobiliti yang semakin meningkat, dengan penetapan syarat penggunaan di jalan raya termasuk laluan dibenarkan, had kelajuan serta umur minimum pengguna bagi memastikan keselamatan semua pihak.







