
JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan ahli politik yang gemar membina populariti menerusi media sosial semata-mata.
Baginda bertitah, seseorang pemimpin seharusnya dinilai berdasarkan keupayaan melaksanakan tanggungjawab serta usaha membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, bukannya hanya berdasarkan imej atau keterlihatan di platform digital.
Menurut baginda, penggunaan media sosial oleh ahli politik bagi berinteraksi dengan rakyat adalah sesuatu yang difahami, namun masyarakat perlu membuat pertimbangan sebelum memilih pemimpin.
“Sebagai ahli politik, mereka terpaksa menguar-uarkan dalam media sosial untuk memastikan ada ‘engagement’ dengan rakyat dan nampak mereka bekerja keras. Itu saya faham.
“Tetapi sebelum membuat apa-apa keputusan, buat penilaian dahulu kerana kita ini banyak ‘Hollywood’. Paling ‘Hollywood’ sekali yang dekat Muar.
“Saya tidak suka dengan ‘Hollywood’. Saya suka orang yang melaksanakan tugas yang boleh memperbaiki hidup rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menjawab soalan seorang anak muda mengenai sama ada golongan itu perlu memilih pemimpin yang popular di media sosial atau pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat pada sesi Podcast Bual Santai Petang bersama Orang Muda Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Muar, baru-baru ini.
Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi pengalaman berdepan dengan individu yang tidak mempunyai kemampuan melaksanakan tugas, sebaliknya lebih cenderung mencari kelemahan dan menyalahkan pihak lain.
“Untuk mencari isu, mencari salah dan menjadi pembangkang memang senang. Tetapi apabila diberikan kerusi untuk mentadbir, bukan semua orang mampu mentadbir.
“Rakyat Johor perlu bijak membuat penilaian,” titah baginda.
Sementara itu, baginda memaklumkan sumbangan terbesar kepada Bangsa Johor datang daripada keluarga diraja Johor yang membelanjakan lebih RM100 juta setahun bagi pelbagai bentuk bantuan.
Menurut baginda, sumbangan berkenaan meliputi bantuan kepada hospital, pendidikan, golongan memerlukan, bekalan makanan serta tajaan menunaikan ibadah haji.
Baginda bertitah, segala usaha tersebut tidak semestinya dipaparkan secara meluas di media sosial kerana dilakukan atas dasar keikhlasan.
“Tetapi awak tidak nampak kami menguar-uarkan dalam media sosial kerana perbuatan itu dilakukan dengan ikhlas,” titah baginda.






