
KUALA LUMPUR: Di sebalik sarung tangan dan jersi yang dipakai, tersimpan naratif hidup penuh liku, pengorbanan serta ketabahan yang menjadikan Alireza Beiranvand antara penjaga gawang meraih perhatian di pentas Piala Dunia FIFA 2026.
Kisah hidup Alireza Beiranvand ibarat skrip filem yang sukar dipercayai malah penjaga gol nombor satu Iran itu bukan sahaja dikenali kerana kecekapan mengawal gawang tetapi menjadi perhatian dunia menerusi rekod lontaran bola luar biasa.
Berikut enam fakta menarik mengenai penjaga gol yang membuktikan bahawa tiada impian yang terlalu besar untuk dikejar.
Wira Iran di Piala Dunia 2026
Dalam aksi menentang Belgium pada Piala Dunia 2026, Beiranvand melakukan beberapa aksi menyelamat luar biasa termasuk satu tepisan yang dianggap antara terbaik pada kejohanan setakat ini.
Kecekapan dia mengawal gawang gol membantu Iran meraih keputusan seri yang penting sekali gus bakal membuka peluang untuk menempah slot kalah mati.
Pernah menjadi gelandangan demi impian bola sepak
Ketika remaja, Beiranvand meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke Tehran untuk mengejar cita-cita sebagai pemain bola sepak profesional.
Dia pernah tidur di jalanan dan bekerja di pelbagai tempat termasuk kedai pizza serta pusat cuci kereta untuk menyara hidup.
Pemegang Guinness World Records
Beiranvand memegang rekod dunia bagi lontaran bola paling jauh dalam perlawanan rasmi iaitu sejauh lebih 61 meter.
Rekod itu dicatatkan ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Korea Selatan pada 2016.

Pakar lontaran jauh yang menakjubkan
Kehebatan lontarannya dikatakan terhasil daripada zaman kanak-kanak sebagai penggembala kambing , dia sering membaling batu dan objek lain pada jarak jauh.
Kemahiran itu kemudian diterjemahkan ke atas padang bola sepak.
Menafikan penalti Cristiano Ronaldo
Nama Beiranvand menjadi perhatian dunia pada Piala Dunia FIFA 2018 apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti daripada Cristiano Ronaldo dalam perlawanan Iran menentang Portugal.
Penjaga gol Iran pertama dicalonkan anugerah FIFA
Pada 2017, dia menjadi pemain Iran pertama yang dicalonkan dalam kategori penjaga gol terbaik di Anugerah The Best FIFA Football Awards sekali gus menjadi pencapaian bersejarah buat bola sepak Iran.







