
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu ratusan halaman dipercayai dikeluarkan daripada sebuah diari yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asramanya tahun lalu.
Pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan bertauliah, Dr. Linthini Gannetion berkata, hasil pemeriksaannya mendapati dokumen bertanda Y1 hingga Y15 berasal daripada sebuah buku berkulit PVC hijau bertulis Love and Peace yang dirujuk sebagai WK9, dengan helaian berkenaan dikoyakkan daripada buku tersebut.
Menurut saksi pendakwaan ke-74 itu, sebuah buku rujukan baharu daripada jenis sama mengandungi 228 halaman bergaris, namun WK9 hanya mempunyai 106 halaman bergaris, sekali gus menunjukkan sejumlah besar halaman telah dikeluarkan sebelum pemeriksaan dijalankan.
Beliau turut memaklumkan corak koyakan pada dokumen Y1 hingga Y15 adalah berbeza-beza dan tidak menunjukkan satu pola yang seragam. Malah, terdapat petunjuk selain helaian berkenaan, beberapa halaman lain juga dipercayai dikeluarkan daripada diari tersebut.
Ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, Linthini berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati wujud kemungkinan gangguan terhadap kandungan dokumen berkenaan.
Katanya, penanggalan halaman, perbezaan jenis dakwat, kewujudan tulisan yang dipadamkan serta format tarikh yang tidak konsisten menunjukkan unsur pengubahan tidak dapat diketepikan.
Beliau berkata, penggunaan pencahayaan serong turut mendedahkan kewujudan lekukan tulisan pada beberapa halaman yang tidak sepadan dengan kandungan halaman sebelumnya, sekali gus menimbulkan kemungkinan halaman asal yang menghasilkan lekukan itu sudah dikeluarkan.
Bagaimanapun, pemeriksaan lebih terperinci menggunakan Alat Pengesan Elektrostatik (ESDA) tidak dapat dijalankan kerana bahan bukti tidak dibawa ke makmal.
Linthini mendapati kebiasaan penulisan diari Zara menunjukkan mangsa tidak menulis tarikh secara konsisten. Namun, hampir semua helaian Y1 hingga Y15 mengandungi tarikh, kecuali Y8B dan Y13B, keadaan yang disifatkannya tidak selaras dengan corak penulisan biasa mangsa.
Beliau juga mengesan penggunaan pen yang berbeza pada beberapa bahagian, termasuk kemungkinan terdapat maklumat yang ditambah kemudian menggunakan dakwat lain.
Katanya, terdapat juga tulisan yang dipadamkan dan ditokok tambah pada beberapa halaman. Antaranya perkataan “tauddin” dalam nama “Retauddin” yang dipercayai ditambah kemudian menggunakan pen berlainan, selain frasa “Jala imut” yang dipadamkan pada halaman Y13A dan didapati tidak sepadan dengan ciri tulisan tangan Zara.
Namun, beliau berpendapat tulisan pada dokumen Y10B hingga Y15B mempunyai persamaan ketara dengan tulisan tangan Zara antara Februari hingga pertengahan April 2025 dan berkemungkinan besar ditulis oleh mangsa sendiri.






