
KOTA SAMARAHAN: Seorang mekanik parah selepas dilibas isterinya menggunakan pisau dalam satu pertengkaran di sebuah rumah sewa di Taman Unigardens di sini, kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 35 tahun cedera di perut dan terpaksa menjalani pembedahan sebelum dilaporkan stabil.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang berasal dari Sri Aman datang ke rumah sewa isterinya selepas pasangan itu tidak tinggal bersama sejak lebih dua tahun lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara pasangan terbabit yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu mangsa selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Ketika pertengkaran berlaku, mangsa dipercayai memukul kepala isterinya yang berusia 31 tahun menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan wanita itu cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri ke dalam rumah, namun dikejar oleh mangsa yang terus menghampirinya.
Dalam keadaan cemas, wanita itu dipercayai mencapai sebilah pisau sebelum melibas ke arah suaminya bagi menghalang mangsa daripada mendekatinya. Libasan tersebut terkena bahagian perut lelaki berkenaan dan menyebabkan kecederaan serius.
Menyedari kecederaan dialami mangsa, suspek segera membawanya ke Hospital IJN Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan. Wanita itu turut menerima rawatan akibat kecederaan di kepala sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan atas arahan polis susulan laporan dibuat oleh pembantu perubatan pukul 6.50 petang.
Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata, manakala polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga selama 12 tahun itu mempunyai tiga orang anak berusia enam, tujuh dan 11 tahun yang kini tinggal bersama ibu suspek di Sri Aman.






