
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balas dan pelbagai langkah perdagangan lain bagi memastikan kepentingan ekonomi serta perdagangan negara terus terpelihara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kegagalan meneruskan libat urus dengan AS boleh mendedahkan negara kepada pelbagai risiko termasuk menjejaskan daya saing produk Malaysia di pasaran negara itu.
Katanya, sekiranya tiada rundingan dilakukan, AS boleh mengenakan tarif tambahan secara unilateral ke atas produk import dari Malaysia, sekali gus menyebabkan harga barangan negara menjadi lebih mahal dan kurang kompetitif berbanding produk negara lain.
“Apabila produk Malaysia dikenakan tarif tambahan, ia akan memberi kesan kepada daya saing eksport kita.
“Situasi ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan hak AS untuk menentukan dasar perdagangan mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, hubungan perdagangan dengan AS amat penting kepada Malaysia memandangkan negara itu merupakan antara destinasi utama eksport negara, khususnya bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Katanya, daripada keseluruhan eksport negara yang mencecah RM1.6 trilion, sebanyak RM711 bilion disumbangkan oleh sektor E&E dan semikonduktor, manakala nilai eksport ke AS berjumlah RM233 bilion tahun lalu.
Beliau mengakui pada peringkat awal kurang bersetuju dengan pendekatan rundingan tersebut, namun selepas meneliti kesan yang mungkin berlaku terhadap ekonomi negara, kerajaan berpendapat langkah berunding adalah pilihan terbaik bagi melindungi kepentingan syarikat tempatan.
“Jika Malaysia dikenakan tarif yang tinggi seperti negara lain, kesannya pasti dirasai syarikat-syarikat yang bergantung kepada pasaran AS. Sebab itu kita perlu terus berunding dan mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Johari memaklumkan tarif 10 peratus yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS hanya sah bagi tempoh 150 hari dan dijadual berakhir pada 24 Julai ini.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa serta memperkukuhkan rundingan bagi memastikan eksport negara tidak terjejas dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.





