
KOTA KINABALU: Siasatan segera secara menyeluruh dan telus diarahkan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi renjatan elektrik yang meragut nyawa tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Beaufort, Sabah, semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang kelemahan yang dikenal pasti menerusi siasatan berkenaan perlu ditangani serta-merta.
Katanya, langkah penambahbaikan juga perlu dilaksanakan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini ketika menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga tiga anggota yang terkorban dalam tragedi tersebut.
Mereka ialah Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, Koperal Chiu Teck Siong dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee.
“Ketiga-tiga mereka telah mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara dan sesungguhnya pemergian ini kehilangan besar buat warga Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Saifuddin Nasution turut mendoakan Allah SWT memberikan ketabahan kepada keluarga serta sahabat ketiga-tiga anggota berkenaan dalam menghadapi dugaan itu.
Beliau berharap segala urusan berkaitan dipermudahkan dan keluarga mangsa diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangan tersebut.
Dalam kejadian pukul 5.50 petang semalam, ketiga-tiga anggota polis itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan sebatang galah besi sepanjang 29 kaki yang digunakan untuk mengait kelapa.
Kejadian berlaku di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston, Beaufort.
Siasatan menyeluruh itu diharap dapat menjelaskan punca sebenar kejadian selain memastikan aspek keselamatan serta prosedur berkaitan diberi perhatian bagi mengelakkan tragedi sama berulang.







