
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memulakan siasatan terhadap beberapa individu yang dikenal pasti menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut LHDN, tindakan itu diambil selepas analisis risiko percukaian mendapati wujud ketidaksepadanan antara nilai aset yang dimiliki individu terbabit dengan pendapatan yang diisytiharkan kepada pihak berkuasa.
“LHDN mengadakan serbuan ke beberapa premis berkaitan bagi mendapatkan maklumat, membuat semakan dokumen serta mengesahkan fakta yang berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan.
“LHDN ingin menjelaskan bahawa setiap tindakan semakan dan siasatan dilaksanakan secara profesional, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang percukaian yang berkuat kuasa tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebarang tindakan lanjut hanya akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan, penelitian maklumat serta bukti yang diperoleh sepanjang proses semakan dilaksanakan.
Pada 29 Julai lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan Laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan setebal 211 halaman itu mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama, senarai eksibit, dapatan siasatan serta cadangan penambahbaikan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Berikutan pendedahan laporan berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang turut menyiasat kes itu, telah menahan dan merakam keterangan beberapa individu, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun.






