
KUALA LUMPUR: Perpatih Fest 2026 bakal menjadi platform strategik bagi memperkenalkan identiti, nilai dan keunikan warisan Adat Perpatih kepada masyarakat di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Razaimi Hamat, berkata kerjasama antara Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan mencerminkan komitmen bersama dalam memelihara serta mempromosikan warisan budaya negara.
Beliau berkata, prapelancaran Perpatih Fest 2026 turut berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara warisan, selain menarik penyertaan pengunjung, penyelidik, penggiat budaya dan pelancong dari dalam serta luar negara.
“JMM sentiasa terbuka menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memastikan usaha pemeliharaan dan pemerkasaan warisan negara dapat dilaksanakan secara bersama.
“Jabatan percaya bahawa usaha memelihara, memulihara dan memperkasakan warisan negara bukanlah tanggungjawab JMM semata-mata tetapi memerlukanpenglibatandan sokongan semua pihak.
“Melalui kolaborasi seperti ini, lebih banyak program berkualiti dapat dilaksanakan sekali gus memperluaskan akses masyarakat terhadap warisan sejarah, budaya dan ketamadunan negara,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Prapelancaran Perpatih Fest 2026: Perkukuh Promosi Warisan Adat Perpatih ke Peringkat Nasional di Dataran Muzium Negara, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan yang baru dilantik, Datuk Razali Abu Samah.
Hadir sama ialah Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd. Gorip.
Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, program itu turut berperanan dalam memperkukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik serta berpotensi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
Antara pengisian menarik sempena Prapelancaran Perpatih Fest 2026 termasuk pameran daripada 16 luak Negeri Sembilan.
Selain itu, program turut mengetengahkan demonstrasi dan uji rasa makanan tradisional, jualan produk tempatan, bengkel destar dan ikatan samping oleh penggiat seni tempatan, pertandingan kolaj keluarga, demonstrasi permainan tradisional serta persembahan kesenian seperti Tumbuk Kalang dari Luak Gemencheh.
Perpatih Fest 2026 akan berlangsung pada 27 hingga 29 November 2026 di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.






