
KUALA LUMPUR: Usaha mengangkat Patung Moyang Lanjut sebagai Objek Warisan seterusnya Warisan Kebangsaan dilihat langkah penting dalam memastikan khazanah masyarakat Orang Asli terus dipelihara dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata inisiatif Jabatan Muzium Malaysia (JMM) itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf sumbangan masyarakat Orang Asli terhadap warisan kebangsaan.
“Pengiktirafan berkenaan bukan sekadar memberikan perlindungan terhadap artifak bernilai sejarah dan budaya malah memastikan khazanah berkenaan terus didokumentasikan serta dilindungi mengikut peruntukan Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
“Warisan masyarakat Orang Asli bukan sekadar tinggalan masa lalu, malah merupakan sumber ilmu yang sangat bernilai dan wajar dipelihara, didokumentasikan serta diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Citra Nusa: Magis Belantara 2026 di Dataran Muzium Negara, di sini, hari ini.
Program anjuran JMM itu mengetengahkan kekayaan seni, budaya dan warisan masyarakat Orang Asli menerusi persembahan kebudayaan, demonstrasi kraftangan, gastronomi tradisional, pameran, aktiviti interaktif serta program pendidikan.
Haslina berkata, masyarakat Orang Asli antara komuniti terawal yang mewarnai sejarah pembentukan negara dan memiliki sistem pengetahuan tradisional, seni, bahasa, kepercayaan, adat resam serta cara hidup unik hasil hubungan rapat dengan alam semula jadi sejak turun-temurun.
Katanya, usaha memelihara warisan itu perlu dilaksanakan secara inklusif selaras dengan Dasar Perpaduan Negara dan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan setiap komuniti mempunyai ruang berkongsi identiti, sejarah dan warisan mereka dengan masyarakat umum.
“Apabila masyarakat melihat sendiri kehalusan seni anyaman, mendengar alunan muzik tradisional, merasai makanan warisan serta berinteraksi dengan komuniti Orang Asli, mereka bukan sahaja memperoleh pengetahuan, malah memupuk rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan program berkenaan sebagai platform penting dalam memperkasa komuniti Orang Asli apabila memberi ruang kepada artisan, pemuzik, penari, pelukis dan usahawan Orang Asli mempamerkan hasil kreativiti mereka.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membantu memartabatkan warisan budaya malah berpotensi menjana pendapatan, memperkukuh ekonomi komuniti dan membuka peluang kepada generasi muda untuk meneruskan warisan nenek moyang mereka.





