
MELAKA : Barisan Nasional (BN) Melaka tidak menutup pintu untuk berbincang dengan mana-mana parti yang berminat menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, bagaimanapun, sebarang cadangan kerjasama perlu dibawa melalui saluran rundingan rasmi dan tidak wajar dibincangkan menerusi media sosial.
“Kalau misal kata ada hasrat untuk kebersamaan, saya buatkan satu ruang yang terbuka untuk berunding.
“Tak semestinya rundingan itu dimuktamadkan menjadi rakan kongsi yang baik. Kita berdasarkan kepada banyak faktor untuk kita menjadikan seseorang itu sebagai rakan kongsi kita.
“Insya-ALLAH saya secara terbuka, kita melihat bahawa BN Plus ini akan menghasilkan politik yang cukup baik untuk Melaka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di MITC di sini, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, BN akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu, manakala tujuh kerusi lagi masih terbuka untuk rundingan termasuk kemungkinan pertukaran kerusi.
“Maksudnya 21 kerusi ini menimbulkan 1001 kemungkinan dan tujuh kerusi lagi boleh dirunding. Mungkin ada pertukaran kerusi atas sifat perundingan tadi.
“Jadi kita tak bolehlah nak menganggap bahawa 21 kerusi itu UMNO punya. Ada juga kita mengambil kira dalam pelbagai sudut kekuatannya, kelemahannya, kelebihannya,” katanya.
Selain itu, katanya, BN turut menilai pelbagai aspek, termasuk sejauh mana kekuatan sesebuah parti dapat saling melengkapi dan memberi kelebihan kepada parti yang bekerjasama dalam menghadapi PRN.
“Saya selalu tegaskan bahawa kita jangan buat rumusan dalam apa juga perbincangan yang tidak ada rasminya. Saya selalu kata, kali ini kita bernikah biar tok kadi, biar bersaksi.
“BN sedia berunding, setakat ini belum ada yang datang berunding. Saya tak tahu kerusi mana yang mereka nak pilih. Sebab itu saya tak nak berunding dalam media sosial,” katanya.






