
KUALA LUMPUR: Persidangan Parti DAP 2026 bakal menentukan sama ada parti itu kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, usul berhubung perkara itu akan dibentangkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada persidangan berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad ini.
“Perwakilan akan membahaskan usul itu sebelum undian dibuat. Kita akan menyerahkan kepada semua perwakilan yang hadir untuk membuat keputusan.
“Kita tidak akan menggunakan cara undian secara suara ataupun angkat tangan tetapi setiap perwakilan akan diberikan kertas undi untuk mereka membuat keputusan, ini merupakan satu proses yang telus,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Khoo berkata, sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan itu akan membuat keputusan mengenai usul berkenaan menerusi undi.
Beliau berkata, proses pengundian akan dimulakan sebaik sesi perbahasan selesai dan dijangka mengambil masa kira-kira dua jam.
Beliau turut menyeru semua perwakilan yang layak supaya menghadiri persidangan itu memandangkan keputusan mengenai usul tersebut penting kerana ia akan menentukan hala tuju DAP pada masa akan datang.






