
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mendoakan pemeriksaan dan prosedur perubatan yang dijalani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan lancar.
Shehbaz berkata, rakyat Pakistan turut bersama-sama mendoakan Anwar dikurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik.
“Saya mendoakan saudara saya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, agar prosedur perubatan yang dijalaninya berjalan lancar serta beliau dikurniakan kesihatan yang baik.
“Semoga Allah SWT mempermudah urusannya dan membolehkan beliau kembali menjalankan tugas dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Terdahulu, Anwar kini sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan pasukan pakar perubatan.
Menerusi kenyataan hari ini, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan Anwar dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
“Marilah kita mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur Perdana Menteri dipermudahkan dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan itu.






