
KUALA LUMPUR: Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang ditahan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta selepas disyaki cuba menyeludup 25 kilogram (kg) dadah ke Indonesia bukan individu yang menerbangkan pesawat berkenaan.
Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan individu berusia 39 tahun itu hanya bertindak sebagai pegawai kedua yang berada di tempat duduk tambahan kokpit ketika pesawat berlepas.
Menurut MAG, individu berkenaan berperanan sebagai pemerhati dan bukan juruterbang yang mengendalikan penerbangan tersebut.
Malah, suspek juga tidak bertugas selama dua hari sebelum ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 28 Julai lalu.
“MAG menegaskan pesawat berkenaan dikendalikan dengan selamat pada setiap masa oleh dua juruterbang yang layak mengendalikan penerbangan.
“Bagaimanapun, tindakan individu berkenaan adalah sama sekali tidak boleh diterima serta bertentangan dengan standard profesional yang ditetapkan terhadap kakitangan,” menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan seorang juruterbang MAS ditahan di pintu masuk Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno-Hatta selepas Bahagian Kastam dan Cukai Indonesia menemui 15 paket besar mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan methamphetamine.
Susulan insiden itu, MAG mengambil langkah segera memperketatkan kerangka keselamatan dan kesiapsiagaan tugas dengan melaksanakan saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang Malaysia Airlines.
Dalam pada itu, program saringan dadah mandatori berkenaan turut akan diperluaskan kepada kru kabin.
MAG turut memperkenalkan langkah kawal selia yang lebih ketat sebelum setiap penerbangan, termasuk mewajibkan juruterbang yang bertugas melengkapkan penilaian IMSAFER bagi memastikan tahap kesediaan fizikal dan mental sebelum menjalankan tugas.
IMSAFER merupakan senarai semak penilaian kendiri juruterbang sebelum penerbangan yang meliputi aspek penyakit, pengambilan ubat-ubatan, tekanan, alkohol, keletihan, emosi dan kekerapan latihan.
MAG turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguat kuasa dan badan kawal selia bagi memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan pematuhan terhadap semua keperluan kawal selia berkaitan dalam operasi syarikat dan ekosistem penerbangan secara keseluruhannya.




