
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, tidak pernah dilepaskan tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, AGC memaklumkan keputusan untuk menarik balik 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Nicky dibuat selepas beliau bersetuju membayar kompaun sebanyak RM10 juta.
Menurut AGC, penyelesaian kes itu turut melibatkan pelucuthakan bon bernilai RM647,366 selain harta yang sebelum ini disita oleh pihak berkuasa.
“Jumlah itu dipersetujui oleh Nicky atau nama sebenarnya Liow Soon Hee dan dibayar sepenuhnya pada 29 Mei 2023.
“Lanjutan daripada pembayaran itu, selaras dengan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), AGC menarik balik pertuduhan terhadap Nicky.
“Susulan itu, pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan supaya ahli perniagaan itu dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Penjelasan itu dibuat AGC susulan laporan sebuah portal berita dua hari lalu yang mempersoalkan tindakan jabatan berkenaan berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap ahli perniagaan tersebut.
Menurut AGC, Nicky sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022 atas 26 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Kes berkenaan pada asalnya ditetapkan untuk perbicaraan bermula 6 Julai hingga 27 September 2023.
“Bagaimanapun, sebelum perbicaraan berlangsung, Nicky menerusi firma guamannya, Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu mengemukakan dua representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon supaya semua pertuduhan dikompaun di bawah Seksyen 92 akta itu,” kata AGC.
Menurut AGC, selepas penelitian terperinci terhadap representasi itu serta semua keterangan sedia ada, pihak pendakwaan bersetuju menawarkan kompaun berkenaan.
Jabatan itu selanjutnya menjelaskan, keputusan yang diambil itu adalah selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Ia juga dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan daripada hasil siasatan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
“Selain itu, keputusan itu mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.”
Pada Khamis lalu, peguam yang mewakili Nicky, Datuk Rajpal Singh, mengesahkan AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas menerima representasi Nicky.
Beliau berkata, anak guamnya itu juga sudah melangsaikan tunggakan cukai RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkait Borang Nyata Cukai bawah Akta Cukai Pendapatan.
Susulan itu, Rajpal berkata, Nicky dibebaskan pada 15 Jun 2023.
Mengikut kertas pertuduhan, Nicky sebagai seorang pengarah syarikat, didakwa terbabit pengubahan wang haram dan memiliki wang dipercayai hasil daripada aktiviti haram, di beberapa lokasi berhampiran Lembah Klang antara 2016 hingga 2021.






