
KUALA LUMPUR : Seorang pelakon wanita bersama tiga individu lain mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dua tahun lalu.
Pelakon drama, Farah Wahida Zainuddin, 44, serta Mohd Nizam Jamaluddin, 45, masing-masing berdepan empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Lim Sue Peng, 54, dan Lim Sian Tze, 54, turut mengaku tidak bersalah selepas masing-masing didakwa atas lima dan lapan pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan, Farah Wahida yang juga Pengarah Focal Reality Entertainment Sdn Bhd, Sue Peng selaku Pengarah Zfinity serta Sian Tze, pemilik LST Concept Marketing, didakwa mengemukakan dokumen palsu berupa Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso bagi mendapatkan tuntutan insentif di bawah program berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Off Jalan Gombak, Jalan Sungai Besi, Taman Sri Sinar, Segambut, antara 29 Mac hingga 2 Oktober 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohd Nizam pula didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan Farah Wahida melakukan kesalahan sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 akta sama, yang membawa hukuman setimpal jika disabitkan bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras bersama Pegawai Pendakwa SPRM, Nazreena Zainudin. Farah Wahida diwakili peguam Zulkifli Awang, manakala Ahmad Faruq Sidik dan S. Kirthen masing-masing mewakili Sian Tze serta Sue Peng.
Mahkamah membenarkan Farah Wahida diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, selain dikenakan syarat tambahan supaya melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan.
Mohd Nizam pula dibenarkan diikat jamin RM6,000, manakala Sue Peng dan Sian Tze masing-masing RM35,000 serta RM48,000, juga dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Ketiga-tiga tertuduh itu turut diperintahkan mematuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.






