
MARANG: Keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) dianggap terlucut secara automatik susulan pengumuman presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pembentukan gabungan politik baharu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu selaras dengan peruntukan dalam perlembagaan parti yang menyentuh mengenai penyertaan dalam gabungan politik lain.
Katanya, Bersatu sudah membuat kenyataan untuk membentuk gabungan baharu, sekali gus menyebabkan kedudukan parti itu dalam PN gugur secara automatik.
“Bersatu sudah membuat kenyataan untuk menubuhkan satu pasukan lain, dengan itu keahlian parti itu secara automatik keluar daripada gabungan PN,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Bulan lalu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan Bersatu akan membentuk satu gabungan baharu yang lebih kuat bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut laporan, gabungan baharu berkenaan antara lain akan membabitkan parti yang berada dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Parti Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PN tidak perlu mengeluarkan sebarang pemberitahuan rasmi kepada Bersatu berhubung kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, tindakan Bersatu mengumumkan pembentukan gabungan baharu sudah memadai untuk menunjukkan parti itu tidak lagi berada dalam PN.
“Saya berpendapat PN tidak perlu mengeluarkan surat rasmi terutama membabitkan perlucutan itu… perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, maka keluarlah,” katanya.







