KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengeluarkan notis perisytiharan harta kepada pegawai penguat kuasa yang terbabit dalam sindiket ‘counter setting’ di pintu masuk negara, susulan rampasan pelbagai aset mewah dan wang tunai bernilai jutaan ringgit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suspek yang ditahan diberikan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 untuk mengisytiharkan harta yang dimiliki.
Katanya, siasatan kini turut memberi tumpuan kepada usaha mengesan dan merampas aset yang diperoleh melalui hasil jenayah.
“Siasatan masih berjalan dan pihaknya mengumpul keterangan untuk tujuan pendakwaan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009 serta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Siasatan turut mendedahkan ada antara pegawai penguat kuasa yang terlibat telah membuka kedai emas dan membeli pelbagai bentuk emas, selain menggunakan akaun proksi untuk menyimpan serta menerima wang rasuah,” katanya.
Sebelum ini, SPRM melaporkan rampasan sebanyak 617 unit emas meliputi jongkong dan pelbagai jenis barang kemas termasuk cincin, gelang tangan, rantai leher, rantai kaki, subang dan loket.
Keseluruhan emas yang disita dianggarkan seberat 3.35 kilogram dengan nilai hampir RM2.26 juta.
SPRM turut menyita 15 kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard, Mercedes-Benz, BMW dan Audi, dengan anggaran nilai hampir RM1.82 juta.
Sebanyak 126 akaun bank turut dibekukan, terdiri daripada 82 akaun individu dan 20 akaun syarikat yang keseluruhannya bernilai hampir RM4.4 juta, selain sitaan wang tunai hampir RM800,000.
Setakat ini, seramai 30 individu ditahan dalam siasatan kes tersebut, melibatkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.
