
NEW YORK: Malaysia sekali lagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Israel sambil menyifatkan kekejaman rejim Zionis di Asia Barat sebagai satu ‘metastasis’ yang tidak boleh dibiarkan merebak.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 2025 di sini pada Sabtu, berkata tindakan terbaharu Israel iaitu serangan udara ke atas Doha, Qatar bukan sekadar menyasarkan beberapa pemimpin Hamas, tetapi merupakan pencabulan jelas terhadap kedaulatan negara lain serta penghinaan terhadap usaha damai dan pengantaraan antarabangsa.
“Keganasan yang dilakukan Israel bukan hanya menggugat kestabilan rantau ini. Ia adalah ancaman global yang akan terus merebak ke seluruh dunia,” katanya.
Mohamad menegaskan kekejaman rejim Zionis tidak akan berakhir di Palestin.
“Kita mungkin melihat ia bermula di Palestin, tetapi kesannya akan dirasai seluruh dunia. Ketika Asia Barat menjadi semakin berbahaya bagi rakyatnya, kita juga tidak akan terlepas,” ujar beliau.
Menyedari situasi yang semakin meruncing, Mohamad berkata hanya menyokong penyelesaian dua negara kini tidak lagi memadai.
Beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin melalui pelbagai pendekatan, termasuk melalui Deklarasi New York.
“Tindakan konkrit mesti diambil terhadap kuasa pendudukan. Pada masa sama, sokongan jangka panjang perlu disediakan untuk membina sebuah negara Palestin yang bebas dan berkerajaan sendiri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan krisis ini sebagai satu ujian besar terhadap kewujudan dan kredibiliti PBB.
“80 tahun kewujudan PBB, 77 tahun penderitaan rakyat Palestin. Jika isu ini gagal diselesaikan, keyakinan masyarakat dunia terhadap sistem antarabangsa akan runtuh,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Mohamad turut menggesa reformasi menyeluruh terhadap struktur dan fungsi PBB agar ia kekal relevan dalam menangani cabaran global, khususnya konflik yang sudah berlarutan seperti isu Palestin.
Beliau menekankan tiga pembaharuan utama yang perlu diberi keutamaan iaitu mengehadkan, atau menghapuskan kuasa veto anggota tetap Majlis Keselamatan; mengembalikan kuasa sebenar kepada UNGA sebagai suara kolektif global dan merombak mekanisme pembiayaan global agar lebih adil dan telus untuk negara-negara Selatan Global.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri apabila kuasa veto digunakan untuk melindungi jenayah terhadap kemanusiaan. Majlis Keselamatan mesti dibebaskan daripada kebuntuan yang memalukan ini,” katanya.
Mohamad turut menyeru agar Resolusi 76/272 (Inisiatif Veto) dan Resolusi 377A (Bersatu Demi Keamanan) digerakkan dengan berkesan bagi menuntut kebertanggungjawaban daripada anggota tetap Majlis Keselamatan.
Mohamad menegaskan, dalam menghadapi situasi ini, PBB tidak lagi boleh berperanan sebagai pemerhati pasif.






