GOMBAK: Seorang bayi lelaki berusia setahun maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan dalam nahas ngeri di Plaza Tol Bukit Kajang, kelmarin, yang berpunca daripada ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan siasatan awal dan laporan polis mendapati bayi tersebut tidak dipasangkan pada kerusi keselamatan khas sewaktu kemalangan berlaku.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan pentingnya ciri keselamatan itu.
“Bayangkan jika bayi berada dalam kerusi khas, mungkin dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Kelmarin, seorang bayi lelaki maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.
Dalam perkembangan sama, Anthony berkata, kerusi khas kanak-kanak adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.
“Setiap ciri keselamatan diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Insiden ini sekali lagi membuktikan mengabaikan kerusi itu boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, penyelenggaraan kenderaan berat juga tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan PUSPAKOM yang dilakukan setiap enam bulan.
“Lori terbabit ada permit sah, rekod PUSPAKOM masih ada, tetapi itu tidak bermakna pengendali boleh lepas tangan.
“Penyelenggaraan lori itu hanya memiliki dua permit dengan dua lori aktif, namun kejadian itu memberi peringatan kepada semua pengusaha pengangkutan supaya memastikan kenderaan selamat digunakan.
“Pemandu lori sendiri terpaksa melompat keluar menyelamatkan diri kerana brek gagal berfungsi. Polis masih meneruskan siasatan penuh, tetapi bukti awal termasuk rakaman video sudah menunjukkan kegagalan sistem brek,” katanya
