
KUALA LUMPUR : Bekalan ayam dan telur di pasaran tempatan dijangka mencukupi serta tidak berdepan sebarang masalah terutama menjelang Ramadan pada bulan depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan data kementerian yang menunjukkan status kedua-dua barangan berkenaan ketika ini agak stabil di pasaran.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor seperti penyeludupan yang berisiko menjejaskan bekalan di pasaran, sebab itu kita mahu semua pihak yang terlibat dan kementerian berkaitan untuk mengawal perkara ini (penyeludupan) supaya tidak berlaku.
“Selain itu, dalam soal import bekalan ayam, kementerian akan memastikan ia seimbang dengan pengeluaran tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai perancangan untuk memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran selain mengurangkan import ayam sebagai langkah melindungi pendapatan penternak kecil dan sederhana.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai langkah membantu penternak kecil yang berdepan tekanan kos makanan ayam, Mohamad berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian telah membangunkan bahan mentah alternatif.
“Ia termasuk penggunaan isi rong sawit, larva Black Soldier Fly dan jagung bijirin tempatan sebagai makanan ternakan.
“Setakat ini, sebanyak 15 syarikat terlibat untuk inisiatif tanaman jagung bijrin tempatan, dengan kerajaan memberikan sokongan awal daripada aspek kewangan dan logistik,” katanya.





