
PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dalam negara kekal stabil ketika ini, namun usaha mendapatkan bekalan tambahan terus dilakukan susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan bersama syarikat minyak termasuk Petronas sedang berusaha mendapatkan sumber bekalan baharu bagi memastikan kelangsungan bekalan kepada rakyat.
Menurutnya, orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut bagi mengelakkan kesan negatif.
“Seperti dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Malaysia mempunyai bekalan minyak mencukupi buat masa ini, namun usaha mendapatkan bekalan tambahan tetap dilakukan.
“Petronas dan syarikat-syarikat minyak lain terus berusaha mendapatkan bekalan baharu bagi menggantikan apa yang digunakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan pada tahun lalu dijangka menjadi pemangkin kepada momentum ekonomi negara walaupun berdepan cabaran global.
Katanya, pertumbuhan ekonomi pada 2025 yang melebihi sasaran kerajaan menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh.
“Pada suku keempat 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6.3 peratus manakala keseluruhan tahun mencatatkan 5.2 peratus, didorong pembaharuan ekonomi, pelaburan domestik serta perbelanjaan dalam negara.
“Keadaan ini dijangka memberi sokongan kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini,” katanya.





