
KUALA LUMPUR : Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP), Datuk Seri R. Ramanan menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai satu lagi bukti nyata kerajaan kekal komited memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada arus pembangunan negara.
Menurut beliau, Belanjawan bertemakan “Belanjawan Madani Keempat: Belanjawan Rakyat” itu memperlihatkan dasar inklusif kerajaan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti India.
“Belanjawan ini benar-benar berteraskan rakyat. Ia membuktikan iltizam kerajaan untuk membela setiap komuniti tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Seri Ramanan yang menjaga hal ehwal komuniti India turut menyambut baik pengumuman peruntukan keseluruhan sebanyak RM419 bilion yang merangkumi pelbagai inisiatif keusahawanan, pembiayaan, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, peruntukan RM220 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA, TEKUN Nasional dan Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) akan menjadi pemangkin utama dalam memperkasa sosioekonomi masyarakat India melalui pelbagai program keusahawanan, latihan serta peningkatan kemahiran.
“Langkah ini selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan India yang berdaya saing dan berjaya,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pelbagai inisiatif prihatin rakyat termasuk bantuan tunai dan SARA bernilai RM1 bilion, serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM2 bilion yang diawalkan pembayarannya sempena sambutan Deepavali.
“Diskaun khas tol 50 peratus ketika Deepavali juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang meraikannya,” jelasnya.
Ramanan turut menyambut baik penambahan RM2.5 bilion dana pinjaman mikro melalui TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu usahawan kecil terus berkembang, selain peningkatan peruntukan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) daripada RM0.2 bilion kepada RM1.9 bilion yang membuka peluang kepada lebih ramai keluarga India memiliki rumah pertama.
Dalam aspek pendidikan, beliau memuji keputusan kerajaan membina semula SJK(T) Ladang Jeram di Pahang serta memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi menaik taraf 520 sekolah daif termasuk sekolah Tamil.
“Ini memastikan anak-anak kita menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif,” katanya lagi.
Ramanan turut mengalu-alukan inisiatif kebajikan pelajar seperti RM150 juta Biasiswa Kecil Persekutuan, RM870 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), dan RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid sekolah kerajaan termasuk SJKT.
“Belanjawan 2026 mencerminkan semangat keadilan sosial dan kesaksamaan yang menjadi tunjang kepada Kerajaan Madani. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, setiap komuniti diraikan sebagai sebahagian daripada keluarga besar Malaysia Madani,” tegasnya.