KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh menegur tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa mempersoalkan soalan wartawan dalam satu majlis rasmi baru-baru ini.
Menurut Dr. Akmal, tindakan Kor Ming itu tidak wajar memandangkan beliau sendiri sebelum ini lantang mengkritik kerajaan ketika berada di pihak pembangkang.
“Hari ini bila dah jadi menteri, koyak dengan soalan wartawan dan siap ugut untuk kenakan tindakan terhadap wartawan pula,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Insiden berkenaan berlaku ketika program prapelancaran projek “I Lite U” yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pada Rabu lalu.
Dalam majlis itu, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bukannya bahasa kebangsaan.
Kor Ming menjelaskan projek itu berunsur pelancongan dan penggunaan bahasa Inggeris dianggap lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Namun, selepas menjawab, Kor Ming dilaporkan memberitahu wartawan Utusan Malaysia beliau akan menghubungi ketua pengarang akhbar tersebut berhubung soalan yang diajukan, tindakan yang kemudian mencetuskan kritikan pelbagai pihak.
Semalam, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dalam kenyataannya mengecam tindakan menteri itu yang disifatkan sebagai cubaan menakut-nakutkan media dan menekan kebebasan wartawan untuk bertanya soalan.
“Perbuatan seperti ini tidak wajar dan boleh dianggap satu bentuk intimidasi terhadap pengamal media,” kata NUJM.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, turut menyifatkan tindakan Kor Ming sebagai bercanggah dengan semangat Kerajaan Madani yang menekankan prinsip keterbukaan dan kebertanggungjawaban.
“Sebagai seorang pemimpin, beliau sepatutnya menghormati peranan media sebagai rakan semak dan imbang dalam memastikan pentadbiran yang telus dan berintegriti,” katanya.
Choo Seong menambah, wartawan hanya menjalankan tanggungjawab profesional untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu berkepentingan awam dan bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak.
