
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menemuinya bagi mendapatkan nasihat untuk menyingkirkan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menjawab dakwaan yang dibuat oleh bekas Ketua Bersatu Ipoh Timur, Fadhli Ismail, Mahathir menegaskan tiada sebarang pertemuan seperti yang didakwa berlaku.
“Tidak, Muhyiddin tak datang jumpa saya meminta nasihat (sama ada) untuk memecat Hamzah. Sama sekali tidak,” katanya seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today.
Fadhli sebelum ini mendakwa pertemuan tersebut berlaku di kediaman Mahathir dengan turut dihadiri Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Isu itu timbul susulan ketegangan dalam Bersatu sejak Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu September lalu, yang menyaksikan penyebaran surat layang mendakwa Hamzah cuba mencabar kepimpinan Muhyiddin dan menentang keputusan parti.
Surat tersebut turut melabelkan Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang, sebagai “musuh dalam selimut” selepas menolak beberapa ketetapan PAT 2024 termasuk pengesahan semula Muhyiddin sebagai presiden.
Mahathir menegaskan beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya menentang perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
“Saya tidak mahu membezakan antara kumpulan yang setia kepada Muhyiddin atau Hamzah. Mereka semua adalah Melayu,” katanya.
Beliau berkata, baik Muhyiddin mahupun Hamzah memahami kepentingan perpaduan Melayu dan pernah menyuarakan sokongan terhadap gagasan penyatuan itu.
“Jika kita mahu mencapai perpaduan Melayu, kita perlu menerima pengikut Hamzah atau Muhyiddin kerana kita anggap mereka sebagai Melayu, bukan sebagai pengikut seseorang,” ujarnya.
Mahathir berkata, beliau percaya perpaduan adalah kunci kekuatan politik Melayu, tetapi malangnya pemimpin kini lebih mementingkan masa depan politik peribadi.
“Disebabkan Muhyiddin merasakan jika beliau dapat sokongan majoriti di bawah satu payung besar, beliau akan menang dan menjadi perdana menteri. Tetapi semua orang boleh jadi perdana menteri. Kita tidak seharusnya fokus hanya kepada Muhyiddin atau Hamzah,” katanya.
Terdahulu, pada PAT Bersatu September lalu, Muhyiddin mendedahkan wujud gerakan mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya, yang membawa kepada desakan segelintir perwakilan agar beliau berundur.
Hamzah bagaimanapun menafikan tuduhan beliau cuba melemahkan presiden parti dan menegaskan sokongan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin.
Pergolakan dalaman Bersatu semakin ketara apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dipecat dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung keahlian.





