
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Beliau berkata, kerajaan MADANI tidak menghalang atau menyekat sebarang aktiviti keagamaan di negara ini.
Bagaiamanpaun, Anwar menjelaskan, isu berkaitan rumah ibadat tanpa kelulusan perlu ditangani dengan baik meskipun jalan penyelesaian kadangkala tidak mudah dan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara telus.
“Buatlah apa sahaja kegiatan keagamaan, pihak berkenaan perlu mengikut peraturan kerana negara ini berpaksikan undang-undang. Saya sendiri pernah terlibat dalam kegiatan dakwah.
“Buatlah dakwah, tiada sekatan sama sekali tetapi ikut peraturan. Itu sahaja yang diminta. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan program Ihya’ Ramadan di Putrajaya, hari ini.
Menurut Anwar, semua rumah ibadat, termasuk kuil Hindu dibenarkan untuk digunakan selagi pembinaannya mematuhi peraturan.
“Sepertimana kuil-kuil Hindu, sembahyanglah sebanyak mana yang diingini, bina kuil pun boleh, tetapi ikut peraturan. Tidak boleh pacak kuil atau berhala di mana-mana tempat sesuka hati,” jelasnya.
Anwar turut menyangkal dakwaan pembinaan surau kini dibuat merata-rata tanpa mengikut peraturan.
Beliau memberi contoh di Perak, dengan beberapa surau pernah dirobohkan kerana melanggar garis panduan yang ditetapkan.
“Jadi saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Dalam ucapan beliau pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara minggu lalu, Anwar menyatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi kuasa untuk `membersihkan’ rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah.
Katanya, kerajaan tidak akan membenarkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan.





