
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bersidang hari ini.
BNM dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan penilaian terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi yang kekal sederhana, meskipun persekitaran global masih berdepan ketidaktentuan.
Menurut bank pusat itu, pertumbuhan ekonomi global bagi tahun 2025 dijangka lebih tinggi berbanding jangkaan awal.
Katanya, ia disokong oleh tarif yang lebih rendah, peningkatan perbelanjaan teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta sokongan fiskal lebih kukuh.
Bagi tahun 2026, BNM menjangkakan pertumbuhan global kekal berdaya tahan walaupun berdepan potensi tekanan tarif, disokong permintaan domestik, inflasi yang semakin reda serta pelaburan teknologi yang berterusan.
Namun, BNM menegaskan, risiko kepada pertumbuhan global masih wujud termasuk kemungkinan kenaikan tarif, ketegangan geopolitik yang berpanjangan dan volatiliti pasaran kewangan global serta kebimbangan terhadap penilaian pasaran kewangan tinggi.
Bagi ekonomi domestik, BNM menjangkakan pertumbuhan Malaysia pada 2025 berada di paras atas julat unjuran, dengan momentum pertumbuhan dijangka berterusan pada 2026, dipacu permintaan dalam negeri yang kukuh.
“Guna tenaga yang stabil, pertumbuhan upah serta langkah dasar berkaitan pendapatan dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah, manakala aktiviti pelaburan dipacu kemajuan projek berbilang tahun sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam berskala kecil, pelaburan yang telah diluluskan serta pelaksanaan pelan induk nasional.
“Dari segi sektor luaran, prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh serta peningkatan perbelanjaan pelancong dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi,” jelas kenyataan itu.
BNM turut memaklumkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing diunjurkan berpurata 1.4 peratus dan dua peratus pada 2025. Bagi 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, manakala inflasi teras stabil dan hampir kepada purata jangka panjang, mencerminkan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.







