KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berdepan saingan enam penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.
Beliau akan ditentang calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari; Mohd Saifulah Lokman (Warisan); Mazlin Madali (Perikatan Nasional); Salahuddin @ Salehuddin Anoi (Parti Impian Sabah) serta calon Bebas, Mohd Ismail Ayob.
Ketua UMNO Sabah itu turut mempertahankan kerusi Lamag yang dimenanginya sejak PRN ke-16.
Pengumuman rasmi calon dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuesri Ismail Yusof, sekitar pukul 10.50 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag ditutup pada pukul 10 pagi.
Bung Moktar, yang hadir bersama Setiausaha UMNO Sabah, Jafry Ariffin iaitu calon BN bagi kerusi DUN Sukau menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.02 pagi sebaik pusat penamaan calon dibuka.
Selain DUN Lamag, penamaan calon bagi dua lagi kerusi dalam Parlimen Kinabatangan, iaitu Sukau dan Kuamut, turut berlangsung di lokasi sama.
DUN Sukau pula menyaksikan saingan tujuh penjuru membabitkan Jafry (BN), Juhari Janan (GRS), Pengiran Petra Pengiran Asri (PN), Azahari Rangon (Warisan), Roslan Madali (PIS), Afiq Anwari Zulkifli (PKS) serta Nordin Damit daripada Perjuangan Rakyat (PR).
Sementara itu, penyandang DUN Kuamut, Masiung Banah (GRS), bakal berdepan pertembungan lapan penjuru dengan Mohina Ronnie Sidom (Upko), Norfaizah Chua (Warisan), Ted Kelvin Sudin (PIS), Jevronnie Mandek (STAR), Abu Bakar Ellah (KDM), John Sungkiang (PPRS) serta calon Bebas, Duin Bintarang.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 29 November, manakala pengundian awal berlangsung pada 25 November.
