
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil dan komited untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam masa terdekat.
AGC memaklumkan bahawa Notis Rayuan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 13 November lepas hanya membabitkan beberapa kekhilafan dalam Alasan Penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi, dan bukan berhubung penetapan kadar pemberian khas tersebut.
“Alasan Penghakiman berkenaan antara lain mendakwa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajiban Perlembagaan.
“Jabatan ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak merayu berhubung isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil dan akan terus memulakan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah sesegera mungkin,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah selepas mendapati wujud beberapa kekhilafan.
Katanya, berdasarkan pemahaman Kerajaan Persekutuan atas nasihat AGC, alasan penghakiman itu dibuat di luar bidang perundangan.






