
SEPANG: Perkhidmatan aerotrain di KLIA Terminal 1 akan dihentikan sementara dari pukul 9 malam hingga 7 pagi setiap hari selama sebulan mulai esok bagi membolehkan pemeriksaan terperinci serta kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Izani Ghani, berkata penutupan sementara itu adalah sebahagian daripada pelan teknikal menyeluruh bagi menangani isu yang timbul sejak perkhidmatan berkenaan disambung semula.
“Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas sepenuhnya akan disediakan untuk membawa penumpang antara terminal utama dan bangunan satelit.
“Kami menjangkakan kerja pembaikan mengambil masa kira-kira empat minggu atau sedikit lebih lama, sehingga 15 Disember,” katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini hari ini.
Minggu lalu aerotrain ditutup dari tengah malam hingga 5 pagi setiap hari bagi membolehkan kerja pemeriksaan dilakukan. Namun, penutupan kini dilanjutkan untuk memastikan sistem benar-benar stabil.
Izani menegaskan keutamaan MAHB adalah memastikan aerotrain kekal selamat dan boleh dipercayai sebagai pintu masuk utama negara, selain meneliti punca sebenar gangguan sebelum ini secara sistematik.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah sebelum ini mendedahkan terdapat 19 insiden kecil melibatkan aerotrain antara 2 Julai hingga 30 September lalu, termasuk gangguan sistem isyarat serta tindakan penumpang yang cuba membuka pintu tren secara paksa. Penyedia sistem boleh dikenakan denda sehingga RM190,000 sebulan jika gagal mengekalkan operasi optimum.
Menurut Izani, pemeriksaan harian meliputi bekalan kuasa, sistem isyarat, komunikasi, kenderaan, laluan tren, peralatan keselamatan dan suis.
Katanya, program pemulihan dilaksanakan dalam tiga peringkat iaitu pencegahan punca masalah, naik taraf perkakasan dan perisian serta pemeriksaan penuh sistem tren termasuk ujian tekanan masa nyata.
Beliau turut memaklumkan aerotrain mencatat 98.41 peratus ketersediaan operasi sejak 1 Julai, dengan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik dan tujuh juta penumpang direkodkan sehingga 10 November.
Mengulas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek aerotrain, Izani berkata MAHB belum menerima sebarang permintaan maklumat namun bersedia memberi kerjasama penuh.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata SPRM bebas menjalankan siasatan terhadap projek aerotrain bernilai RM456 juta mengikut undang-undang dan bukti yang ada. Bagaimanapun, SPRM sebelum ini memaklumkan belum membuka sebarang kertas siasatan kerana tiada aduan atau maklumat diterima.
Pada 28 Oktober lalu, Loke mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat membuka kertas siasatan terhadap MAHB berhubung gangguan perkhidmatan aerotrain.





