
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia diberi tempoh 48 jam bermula hari ini untuk membayar RM1.1 juta kepada ibu mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut di tingkat enam sebuah kondominium lapan tahun lalu.
Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen menegaskan, sekiranya kerajaan gagal mematuhi arahan itu, beliau akan mengambil tindakan undang-undang termasuk mengemukakan prosiding penghinaan mahkamah.
Surat tuntutan Verstappen yang dialamatkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar melalui firma guaman SN Nair & Partners menyatakan, keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Julai lalu adalah jelas dan perlu dipatuhi tanpa kompromi.
Mahkamah memerintahkan kerajaan mendepositkan jumlah ganti rugi beserta faedah terkumpul ke dalam akaun pelanggan selewat-lewatnya pada hari sama.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi berkenaan selepas mendapati terdapat kecuaian pihak polis dalam mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya pada 2017.
Dalam tuntutan saman yang difailkan, Verstappen mendakwa Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia gagal menjalankan kewajipan statutori serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anaknya.
Mendiang Ivana, 18, ditemukan maut pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerik Syarikat (AS), Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Sebelum itu, polis merumuskan kematian sebagai mati mengejut atau bunuh diri, keputusan yang dipertikai oleh Verstappen.
Mahkamah Koroner pada 8 Mac 2019 memutuskan kes itu sebagai ‘insiden malang’, namun rayuan Verstappen diterima Mahkamah Tinggi pada 22 November 2019 apabila keputusan koroner diketepikan dan siasatan semula diarahkan.
Verstappen mendakwa polis gagal menutup lokasi kejadian, menyita barang peribadi mangsa, mengumpul bukti dan menyiasat suspek dengan sewajarnya.
Dia menyeru kerajaan segera mematuhi perintah mahkamah bagi mengelak prosiding undang-undang lanjut dan memastikan keadilan terhadap anaknya dapat ditegakkan.






