
KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula semalam dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan, dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang diramal menjadi negeri terawal menerima hujan lebat berterusan sepanjang tempoh berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang berkata, monsun yang bergerak dari utara ke selatan itu lazimnya memberi kesan awal kepada tiga negeri Pantai Timur antara November hingga Disember sebelum menjangkaui Pahang dan Johor pada fasa berikutnya.
“Pada Disember dan Januari, hujan berterusan dijangka tertumpu di selatan Terengganu, Pahang dan Johor. Sabah dan Sarawak turut berpotensi menerima kesan bergantung kepada pergerakan monsun,” katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.
Menurutnya, pemantauan rapi dilakukan menggunakan imej satelit setiap 10 minit dan 19 radar cuaca di seluruh negara bagi mengesan pembentukan awan hujan serta luruan monsun yang sering menjadi pencetus hujan lebat dan banjir.
“Luruan monsun ialah tiupan angin kencang dari Laut China Selatan yang membawa kelembapan sebelum menghasilkan hujan berterusan satu hingga tiga hari. Inilah faktor utama yang sering mencetuskan banjir di Pantai Timur,” katanya.
MetMalaysia turut memantau kawasan tekanan rendah yang boleh meningkatkan taburan hujan, selain fenomena global seperti La Nina, El Nino, Indian Ocean Dipole (IOD) dan Madden-Julian Oscillation (MJO) yang mempengaruhi pola cuaca rantau ini.







